Jenis penetapan dan proses berkaitan Penetapan histologi

Secara umum terdapat tiga jenis proses penetapan bergantung kepada sampel yang perlu ditetapkan.

Penetapan haba

Penetapan haba digunakan untuk penetapan organisma sel tunggal, kebiasaannya bakteria dan arkea. Organisma biasanya bercampur dengan air atau larutan garam fisiologi yang membantu menyebarkan sampel secara merata. Setelah dicairkan, beberapa titik sampel dilumurkan ke atas slaid mikroskop. Sampel bakteria cair ini biasanya dirujuk sebagai "calitan" selepas ia diletakkan di atas slaid. Selepas calitan itu telah kering pada suhu bilik, slaid tersebut dikapit dengan penyepit atau penyepit pakaian dan melalui atas nyalaan penunu Bunsen beberapa kali untuk proses bunuh-secara-haba dan melekatkan organisma pada slaid tersebut. Peranti penunumikroan juga boleh digunakan. Selepas proses pemanasan tersebut, sampel biasanya diwarnakan dan kemudian diimej menggunakan mikroskop. [4] Penetapan haba secara amnya mengekalkan morfologi keseluruhan tetapi bukan struktur dalaman. Haba menyahaslikan enzim proteolitik dan menghalang autolisis. Penetapan haba tidak boleh digunakan dalam kaedah pewarnaan kapsul kerana penetapan haba akan mengecut atau memusnahkan kapsul (glikokaliks) sehingga tidak dapat dilihat dalam sampel terwarna. [5]

Rendaman

Perendaman boleh digunakan untuk menetapkan sampel histologi dari satu sel sehingga ke keseluruhan organisma. Sampel tisu direndam dalam larutan fiksatif untuk tempoh masa yang ditetapkan. Larutan fiksatif mestilah mempunyai isi padu sekurang-kurangnya 10 kali lebih besar daripada isipadu tisu. [6] Untuk penetapan berjaya, fiksatif mesti meresap ke seluruh tisu, jadi saiz dan ketumpatan tisu, serta jenis fiksatif mesti dipertimbangkan. Ini adalah teknik biasa untuk aplikasi selular, tetapi boleh digunakan untuk tisu yang lebih besar juga. Menggunakan sampel yang lebih besar bermakna ia mesti direndam lebih lama untuk fiksatif mencapai tisu yang lebih dalam. [7]

Perfusi

Perfusi ialah laluan cecair melalui saluran darah atau saluran semula jadi organ atau organisma. Dalam penetapan tisu melalui perfusi, fiksatif dipam ke dalam sistem peredaran darah, biasanya melalui jarum yang dimasukkan ke dalam ventrikel kiri. Hal ini dapat dilakukan melalui bimbingan ultrasound, atau dengan membuka rongga dada subjek tersebut.[8] Fiksatif disuntik ke dalam jantung dengan isi padu suntikan sepadan dengan keluaran jantung biasa. Menggunakan sistem peredaran semula jadi, fiksatif diedarkan ke seluruh badan, dan tisu tidak mati sehingga ia ditetapkan. Apabila kaedah ini digunakan, port saliran juga mesti ditambah pada suatu kedudukan dalam sistem peredaran darah untuk mengambil kira penambahan isipadu larutan fiksatif dan larutan penimbal, kebiasaannya dilakukan di atrium kanan. Fiksatif dipam ke dalam sistem peredaran darah sehingga ia telah menggantikan semua darah. Penggunaan perfusi mempunyai kelebihan dari segi memelihara morfologi,[9] tetapi kelemahannya ialah subjek mati dan jumlah fiksatif yang diperlukan untuk organisma yang lebih besar adalah tinggi, berpotensi meningkatkan kos. Pengurangan jumlah cecair yang diperlukan juga boleh dilakukan untuk melakukan penetapan perfusi melalaui pencubitan arteri yang bersambung tisu yang tidak berkepentingan dalam penyelidikan yang terlibat. Penetapan perfusi biasanya digunakan untuk pengimejan otak, paru-paru, dan tisu buah pinggang dalam tikus, dan juga digunakan pada proses autopsi manusia.[7][10]

Rujukan

WikiPedia: Penetapan histologi https://doi.org/10.1016%2F0769-2609(88)90095-6 https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/3289587 https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC90018 https://doi.org/10.1128%2FAAC.44.8.2086-2092.2000 https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/10898680 https://www.scienceprofonline.com/microbiology/how... https://microbiologyinfo.com/capsule-staining-prin... https://medicine.yale.edu/compmed/mrp/fixationprot... https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/9372749/ https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/9372749